Revolusi Anak Muda

Revolusi Anak Muda

Revolusi Anak Muda Malaysia

Revolusi Anak Muda Malaysia

BANTAHAN PENEBANGAN POKOK BAKAU!!

[kenyataan akhbar SUARAM caw. JB pada 9hb Jun 2009]

Kepada Editor Akhbar ,
Bantahan penebangan pokok bakau secara senyap-senyap!
SUARAM cawangan Johor Bahru mendesak pihak berkuasa wajib menjawab persoalan yang dibangkitkan berikutan cadangan pembangunan industri petrokimia dan industri maritim yang melanggar polisi dan akta-akta. 
 [kenyataan akhbar SUARAM caw. JB pada 9hb Jun 2009]

Dua minggu selepas MB Johor Datuk Abdul Ghani melancarkan program penanaman anak pokok bakau di Stesen Janakuasa Tanjung Bin, Pontian, penebangan hutan paya bakau seluas 913 hektar untuk memberi laluan kepada pembangunan industri petrokimia telah bermula sepertimana yang telah dirancangkan. Tindakan pihak berkuasa yang tidak mempedulikan suara penduduk sekitar Mukim Serkat sebelum ini jelas apabila mereka mula menebang pokok bakau secara senyap-senyap. Ini juga jelas menunjukkan bahawa program pelancaran penanaman anak pokok bakau hanyalah suatu sandiwara pihak berkuasa untuk menipu rakyat bahawa kononnya kerajaan negeri Johor mencintai dan memelihara alam sekitar. 


Pada 8 Jun 2009, lebih kurang jam 5:30 petang, kira-kira 50 orang penduduk kampung telah hadir dan mengadakan perarakan sejauh 500 meter ke tempat penebangan pokok bakau untuk membuat bantahan. Mereka yang menyertai himpunan aman ini bukan sahaja terdiri dari orang dewasa, bahkan turut disertai oleh anak-anak sekolah. Muka mereka dilukis dengan pelbagai imej spesis hidupan laut seperti ikan, kuda laut, penyu dan sebagainya. Ada juga yang memakai kad-kad dengan gambar ikan dugong, rumpai laut dan ada juga kad yang memaparkan mesej supaya penebangan pokok bakau ini dihentikan. Kain pemidang dengan perkataan “Kami SOKONG tanam Pokok Bakau, Kami BANTAH tebang Pokok Bakau” sekali lagi direntang oleh penduduk kampung dengan tujuan agar tuntutan mereka didengar oleh pihak berkuasa.  
Pelbagai soalan perlu dijawab oleh pihak berkuasa. Antaranya termasuk:-

Soalan Pertama; Kawasan Sungai Pulai yang diitakrifkan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) tahap pertama tidak boleh digunakan untuk sebarang penebangan, pembalakan dan projek besar-besaran, tetapi bagaimana cadangan pembangunan industri petrokimia ini boleh diluluskan? 

Soalan Kedua; pembangunan projek mega yang memerlukan penebangan hutan paya bakau melebihi 500 hektar perlu menjalankan kajian Detail Environmental Impact Assessment (DEIA), tetapi dimanakah kajian DEIA? 

Soalan Ketiga; perlindungan kepada haiwan terancam seperti dugong dan kuda laut adalah wajib dibawah Akta Perikanan 1985. Pembangunan industri-industri berat seperti kilang petrokimia dan maritim di Sungai Pulai akan memusnahkan pokok-pokok bakau dan rumpai laut yang merupakan habitat bagi pelbagai hidupan laut, dan haiwan-haiwan yang mengalami kepupusan seperti dugong dan kuda laut. Apakah jaminan keatas pemulihan haiwan terancam dan pembekalan sumber laut di selatan Johor? 

Soalan keempat; industri petrokimia memberi kesan ketara terhadap kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran (lingkungan kurang dari 1km) akibat pelepasan polycyclic aromatic hydrocarbon (PAH) dan bahan toksik lain, Mengapa industri tersebut dicadangkan untuk dibina di lokasi kurang dari 1 km dari kawasan kampung di Mukim Serkat, Pontian?
 
SUARAM cawangan Johor Bahru mendesak kepada pihak berkuasa agar persoalan-persoalan diatas wajib dijawab kepada rakyat kerana cadangan projek petrokimia dan industri maritim di Sungai Pulai telah melanggar polisi dan akta-akta institusi kerajaan Persekutuan dan Negeri yang dirangka untuk menjamin perlindungan sumber asli dan kesihatan penduduk sekitar. 
SUARAM cawangan Johor Bahru berpendapat bahawa segala pembangunan perlulah mengutamakan kepentingan rakyat dan juga nelayan-nelayan sekitar Mukim Serkat dan bukan hanya untuk kepentingan pihak korporat semata-mata serta tidak mempedulikan risiko kesihatan yang bakal timbul akibat aktiviti-aktiviti pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar yang diwar-warkan. 


SUARAM cawangan Johor Bahru juga menyeru agar pihak berkuasa melibatkan peranan penduduk kampung dan nelayan secara langsung dalam segala proses perancangan pembangunan perairan Tanjung Bin supaya kepentingan dan hak mereka dapat dipertahankan.
Akhirnya kami menyeru kepada semua lapisan masyarakat, badan-badan NGO, parti-parti politik dan pihak media agar terus memberikan tumpuan kepada masalah-masalah akibat pembangunan Industri Petrokimia dan Industri Maritim ke atas penduduk kampung dan nelayan-nelayan sekitar Mukim Serkat. 

SUARAM cawangan Johor Bahru
Jawatankuasa Sahabat SUARAM negeri Johor
09 June 2009


1 comments:

Anonymous October 22, 2009 at 4:50 PM  

saya sokong anda. tapi apakan daya.. siapalah saya.. Mereka yg berkuasa tidak akal yang dapat mengatasi nafsu semata-mata

Islamic Clock

Visitor SJ

Hits Bermula 26 Mei 2010 Jam 9.10am

Mesej kepada SJ

My Blog List