SEKALI tengok macam di Padang Arafah. Ada khemah tempat orang beribadat. Ada pula alat penghawa dingin. Cuma apa yang membezakan di sini ada sebuah khemah besar boleh menampung 2,000 jemaah.Di Padang Arafah terdapat banyak khemah kecil. Di situlah bermula ibadat haji dengan bermalam di Mina.
Ganjaran beribadat di Makkah tidak sama dengan tempat lain. Misalnya, ibadat umrah pada bulan Ramadan sebagaimana sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, "Satu umrah pada bulan Ramadan ganjarannya menyamai satu haji." (riwayat Bukhari dan Muslim)
Maka mengambil kira kelebihan itulah, kerajaan Kelantan menjadikan Ramadan setiap tahun sebagai 'ibadat tourism'.
Tahun lepas diisytiharkan Tahun Melawat Kelantan 2008. Suatu kelebihan yang tidak ada di tempat lain, apabila ada khemah khas disediakan sebagai tempat solat sunat tarawih.
Bermula pada awal 1990-an, apabila Jalan Tok Hakim yang ditutup kepada lalu lintas dan dijadikan Dataran MPKB. Di situlah didirikan khemah-khemah kecil yang dihimpunkan menjadi besar.
Di bawahnya dipasang playwood dan di bahagian atas dihampar tikar. Di bahagian depan tempat imam dipasang dinding kayu.
Kedudukan dataran tersebut bersebelahan dengan stesen bas SKMK dan pasar malam Parit Dalam, dan tidak jauh dari Pasar Raya The Store.
Disebabkan kedudukan yang strategik, khemah solat tarawih sentiasa menjadi tumpuan ramai. Lebih-lebih orang ramai yang menunggu bas ekspress ke destinasi luar Kelantan.
Tidak kurang juga si bapa yang menunggu isteri membeli belah di pasar raya, mengambil peluang solat tarawih di situ.
Keistimewaan lain selepas selesai dua salam pertama tarawih, ada ustaz akan memberi tazkirah. Imam solat dijemput khas dari kalangan hafiz.
Setiap malam khemah solat tarawih itu penuh sesak dengan kehadiran ramai jemaah.
Tempat solat tarawih itu terus kekal di situ setiap kali tiba Ramadan. Bagaimanapun disebabkan pertambahan bilangan jemaah, lokasi sedia ada tidak sesuai lagi.
Ekoran itu, pada 2006, lokasi tarawih dipindahkan ke perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke-IV. Reka bentuk khemahnya hampir sama dengan di Dataran MPKB.
Namun selepas Perbadanan Stadium menaiktaraf kawasan berkenaan, Dataran Warisan pula diwujudkan di situ. Ada pentas khas yang disediakan dan ruang kosong dipercantikkan dengan pemasangan bata berwarna.
Lokasi itu turut diadakan pelbagai aktiviti pada bulan lain termasuk sambutan Hari Peladang peringkat negeri.
Dan sejak dua tahun lepas khemah lebih besar yang lengkap dengan alat penghawa dingin disediakan. Lokasi solat tarawih itu kini dikenali sebagai Qaryah Ramadan. Khemah tersebut ternyata memberi keselesaan kepada jemaah.
Ketika hujan makmum tidak perlu lagi bimbang, tidak lagi basah seperti Ramadan sebelum ini.
Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Islam, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), Ustaz Rafei Hassan berkata, kelainan Qaryah Ramadan anjuran MPKB BRI kerana sendat dengan program agama sejak Asar sehingga solat Subuh.
Katanya, pada sebelah petang tiga kali seminggu diadakan program khusus untuk golongan remaja termasuk persembahan nasyid, kuiz, interaktif audien dan menjemput tetamu undangan.
"Program itu dikenali sebagai ambang Ifthor dikendalikan kumpulan Nasyid Advice, Elham, dan interaksi Nisa' yang bermula jam 5.45 petang," katanya, di sini.
MPKB BRI juga menyediakan 500 bungkus nasi bagi mereka yang tidak berkesempatan berbuka di rumah. Beberapa pihak menaja jamuan berbuka puasa termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, MSO Sdn Bhd, De Carpet.
Selain itu Qaryah Ramadan juga menganjurkan program kebajikan bagi membantu penduduk miskin, anak yatim dan ibu tunggal.
Dua program baru yang disusun khas tahun ini iaitu forum kemerdekaan pada 30 Ogos ini dan bicara ilmiah oleh pakar geologi, Dr Arif Kosmo, 7 September depan.
Solat tarawih tahun ini diimamkan Sheikh Ahmad Rejeb Yassin Saad dari Mesir. Ramadan ini merupakan kali kedua beliau didatangkan ke Kota Bharu.
Beliau pernah menjadi imam tarawih di England, Afrika Selatan dan Hawai. Beliau turut dibantu Ustaz Said Hawa Al-Hafiz bekas pelajar Maahad Tahfiz Pulai Chondong.
Setiap kali selepas dua salam solat tarawih, para makmum berpeluang mendengar kupasan ayat-ayat yang dibaca imam oleh pengkuliah jemputan.
Selepas solat tarawih kira-kira jam 10.15 malam, Sheikh Ahmed akan mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan berlagu.
Orang ramai juga berpeluang untuk membetulkan tajwid dengan qari tersebut. Kemudian mulai jam 12 pagi pula diadakan relay qiraatul Quran yang membabitkan kumpulan pelajar hafiz.
Mereka akan bergilir-gilir memperdengarkan bacaan. Kemudian pada jam 4 pagi qiamulai diadakan dengan diimamkan Sheikh Ahmed. Pada jam 5 pagi makanan untuk bersahur disediakan percuma.
"Selepas solat Subuh diadakan kuliah oleh ustaz jemputan," kata Rafei.
Mengambil kira begitu sendat program Ihya' Ramadan di Kelantan maka tidak hairanlah ramai pelancong Ramadan datang ke sini untuk menjalani ibadat puasa.
Biar pun tidak berpeluang beribadat di Makkah, namun di Kota Bharu ada kelainan yang mereka dapat.
"Tidak kurang 10 pelancong ibadat dari luar Kelantan datang ke sini setiap tahun. Tahun ini ada yang datang dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur di mana mereka tinggal dua hingga tiga minggu di sini.
"Tahun lepas pelancong ibadat dari Melaka dan Johor menjadikan Qaryah Ramadan sebagai lokasi tumpuan mereka," katanya.
Selain itu, di Masjid Muhammadi Kota Bharu juga ada program khusus ihya' Ramadan. Tadarus di situ diadakan selepas solat Asar. Setiap petang kelihatan ramai yang datang berbuka puasa secara percuma yang disediakan.
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) juga mengadakan program tadarus di peringkat jajahan membabitkan ketua-ketua jajahan.
Tahun ini petikan surah an-Nahl ayat 120 hingga 128 dijadikan panduan bagi program tadarus al-Quran. Ramadan tahun ini merupakan kali ke-17 program tadarus diadakan di Kelantan.
Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jaheaik, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, surah tersebut dipilih memandangkan minat orang bukan Melayu mengenali Islam semakin meningkat sekarang.
Dalam pada itu, Badan Perhubungan PAS Kelantan juga mengadakan takzirah khas setiap hari selepas solat Zohor di Dewan Zulkifli Mohamad. Tadarus peringkat kawasan juga diatur.
Manakala kebanyakan masjid jajahan dan mukim mengadakan tazkirah Ramadan selepas solat Jumaat.
Inilah fenomena yang sering dilihat di Kelantan setiap kali menjelma Ramadan. Kelainan itu sesungguhnya tidak terdapat di tempat lain.-catatan Yb Idham Lim
The Ahmadi Bertentangan Dengan Syariat Islam - Mohd Na’im
-
KUALA LUMPUR: Ajaran sesat menggunakan nama Ahmad – Agama Keamanan dan
Cahaya dipercayai menjalankan operasi mereka di luar negara.
Menteri di Jabatan P...
9 months ago
0 comments:
Post a Comment